~~MAKLUMAN~~

SAMBUTAN BULAN KECERGASAN PERINGKAT SEKOLAH 2 JULAI HINGGA 20 JULAI 2012

Jun 28, 2011

STRATEGI TANGANI STRESS DALAM KALANGAN GURU


Terdapat dua strategi untuk menangani stress, iaitu mengubah gaya hidup dan mengubah cara berfikir.

Mengubah gaya hidup

1.  Kurangkan atau hentikan pengambilan kafein.

Ramai individu tidak menyedari bahawa kafein yang terkandung dalam kopi, teh, coklat dan kola ialah dadah. Kafein ialah perangsang yang kuat dan sebenarnya menghasilkan tindak balas dalam tubuh. Kesan tanpa pengambilan kafein terhadap tubuh dapat diperhatikan selepas tiga minggu. Individu berasa lebih tenang, tidur dengan lena, lebih bertenaga, dan kurang kesakitan otot. Walau bagaimanapun, pengurangan pengambilan kafein hendaklah dilakukan secara berperingkat. Kurangkan segelas minuman berkafein sehari demi sehari sehingga pengambilan kafein ini dapat dihentikan selepas tiga minggu.

2. Senaman rutin

Tindak balas terhadap stress sebahagian besarnya berasal dari dalam diri kita sendiri bukannya dari rangsangan luar. Bersenam merupakan cara yang paling praktikal untuk meregangkan otot dan membuang tenaga yang berlebihan. Senaman rutin yang kerap diamalkan dapat mengelakkan stress dan situasi yang berlaku sentiasa terkawal. Sekurang-kurangnya lakukanlah senaman rutin tiga kali seminggu dengan kadar minimum 30 minit setiap hari.

3. Meditasi

Tahap rehat yang tinggi dapat dicapai sewaktu meditasi dilakukan kerana secara fisiologinya anggota tubuh sedang berehat dan bukan tidur. Meditasi boleh dilakukan sekali sehari dalam masa 20 minit. Teknik ini boleh dipelajari daripada kursus yang ditawarkan oleh pihak tertentu.

4. Tidur

Tidur boleh mengurangkan stress. Apabila individu yang mengalami stress tidur lebih lama, individu berkenaan akan lebih segar dan bersemangat untuk menghadapi pelbagai tugasan. Keperluan masa tidur adalah antara 5 hingga 10 jam satu malam, tetapi secara purata masa tidur yang diperlukan adalah antara 7 hingga 8 jam. Tidur yang mencukupi membolehkan individu berasa segar, bertenaga sepanjang hari dan bangun tanpa dikejutkan oleh deringan jam. Walau bagaimanapun, tidur terlalu lama boleh menyebabkan gangguan pada ritma tubuh pada keesokan harinya. Tidur pada siang hari amat berguna sekiranya dilakukan sesuai dengan tempoh masa. Tempoh tidur hanyalah antara 5 hingga 20 minit sahaja. Tidur yang melebihi 30 minit boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada individu berkenaan.

Mengubah cara berfikir

1. Jangkaan realistik

Individu mudah naik marah apabila hasil yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan. Hidup akan lebih mudah diurus apabila individu mengamalkan jangkaan realistik. Setelah individu mempunyai gambaran tentang sesuatu, apa-apa pun hasilnya nanti tidak akan menyebabkan individu tadi mengalami stress yang melampau.

2. Unsur humor

Unsur humor perlu ada pada setiap individu. Walau bagaimanapun, tahap humor pada setiap individu adalah berbeza. Mungkin ada individu yang terhibur dengan rancangan National Geographic dan ada juga yang menganggap rancangan tersebut membosankan. Oleh itu, individu hendaklah sensitif ketika cuba berlawak atau menghiburkan hati individu lain.

3. Sistem kepercayaan

Sistem kepercayaan menyebabkan stress dari dua aspek, iaitu tingkah laku hasil daripada kepercayaan dan tatkala berlaku konflik dengan orang lain. Pendirian individu sering kali inginkan sesuatu yang sempurna tetapi tidak semestinya dapat dicapai. Oleh itu, sekiranya individu tidak fleksibel maka akan menimbulkan stress. Justeru, mengubah pendirian terhadap sesuatu yang positif boleh membantu mengurangkan stress.
Kita perlu sedar yang stress memang sukar untuk dielakkan. Stress yang berlaku sekarang akan berterusan tanpa mengira jantina, umur, kelas sosial, profesion dan zaman. Stress tidak semestinya membahayakan malah boleh menjadi aset selagi stress tersebut dapat dikawal. Walau bagaimanapun, memandangkan kebanyakan stress menyebabkan impak yang tidak diingini dan tidak dapat dielakkan, adalah penting untuk individu menangani stress dengan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...